Saturday, 29 November 2014

Kisah Mereka, Realiti Mereka

Bismillah
Dalam tempoh kurang dari sehari aku didatangi dua kisah kehidupan daripada dua insan berbeza dan ditempat yang berbeza. Dan, kedua-dua insan itu juga tidak aku kenali gerangannya.
Apa yang pasti, kisah mereka sangat memberi kesan dan pengajaran kepada ku. Salah seorangnya bercerita mengenai kehidupan dia dan anaknya. Manakala seorang lagi menceritakan kehidupannya yang penuh diselubungi masalah dunia.
Maaf kalian,  aku hanya mampu mendengar. Bukan niat aku untuk mengabaikan. Bukan hasrat ku juga untuk menafikan. Doaku, moga Allah memudahkan urusan kalian dan urusan ku juga. Inshaa Allah.

Monday, 24 November 2014

Berserah diri dan beramal soleh. Siri kupasan al-Quran.

Bismillah  

Dalam al-Quran Allah berfirman "Barang siapa menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah dan dia berbuat baik, dia mendapat pahala di sisi Tuhannya dan tidak ada rasa takut pada mereka dan tidak bersedih hati" (Surah al-Baqarah, 2:112).

Dalam al-Quran banyak terdapat kata-kata iman yang sentiasa diiringi dengan amal soleh. 

Allah berfirman "Dan barang siapa melakukan amal kebaikkan, baik lelaki mahupun perempuan sedangkan dia beriman, maka mereka itu akan masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dizalimi sedikit pun" (Surah al-Nisa', 4:124).

Dan firman Nya, "Barang siapa melakukan kebaikkan dan beriman maka usahanya tidak akan disia-siakan" ( Surah al-Anbiya', 21:94).

Sekiranya kita telah berserah diri kepada Allah dan beramal soleh, maka kita tidak perlu bimbang dan bersedih. Di antara perilaku orang-orang beriman adalah apabila mereka ditimpa sesuatu yang tidak menyenangkan, mereka akan mengkaji sebab-sebab berlakunya dan berusaha kuat untuj mengatasinya. Andai masih juga belum dapat diatasi,  serahkanlah permasalahan itu kepada  Allah. Niat mereka tidak sedikit pun menjadi lemah dan hati mereka juga menyedari bahawa untuk mengatasi semua kesusahan itu, harus menyerahkan diri kepada kekuatan yanghakiki, iaitu Allah. 

Saturday, 22 November 2014

Patri Pada Asa

Bismillah

Penat, terasa penat diri ini menyusuri alur kehidupan.
Lelah, lelahnya diri dengan lakonan pentas dunia.
Lemah, longlai bila mana diri terus dihempas badai kehidupan.
Jatuh, terduduk tersadung dengan onar yang tak henti mencucuk.

Mengapa perlu mengeluh.
Mengapa harus menunduk.
Mengapa ingin berputus asa dengan kehidupan
Mengapa ingin terus hanyut didalam kesulitan.

Apakah tiada hari lagi selepas hari ini.
Apakah berakhir sudah kehidupan nanti.
Apakah cukup usaha yang ditaburi
Apakah tiada misi yang patut dikecapi.

Duhai jiwa
Terbitkanlah aura positif pada diri.
Bangkitkanlah rasa teguh pada hati.
Binakanlah rasa cinta pada ukhrawi.
Teduhkanlah tanda patuh pada Ilahi
Agar kehidupan ini terkadung makna untuk di sana nanti.